
KULAI – Hampir RM800 juta nilai kerugian dialami kesemua mangsa penipuan dalam talian di seluruh Malaysia selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan tidak wujud.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, data diperoleh daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu merupakan laporan terbaharu membabitkan tahun 2025 yang direkodkan sejak Januari hingga April ini.
Menurut beliau, angka itu membimbangkan berikutan masalah penipuan dalam talian dilihat semakin berleluasa.
“Jangan anggap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) tidak tegas dalam hal ini. Kami sentiasa mencari kaedah terbaik dalam mengawal hantaran di sosial media khususnya berunsurkan penipuan.
“Kami berpendapat, perlunya melipat gandakan usaha terutama dalam mendidik masyarakat mengenai keselamatan dalam talian. Malah, MCMC juga sudah memulakan kempen Internet Selamat dimana kami telah pergi ke sembilan buah sekolah rendah di sekitar Johor.
“Kempen ini akan terus diperluaskan ke sekolah menengah dan Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di seluruh Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program NANBA di Dewan Serbaguna Taman Mewah, di sini, hari ini.
Program turut dihadiri Timbalan Ketua Pengarah JKOM, Suwadi Guliling dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senai, Wong Bor Yang.
Menurut Nie Ching, selain penipuan dalam talian, MCMC turut komited memantau sebarang hantaran berunsur hasutan, berita palsu dan seumpamanya.
“Untuk makluman bagi tahun sehingga April, sebanyak 32,436 jumlah hantaran bersifat jelik telah diturunkan MCMC. Angka ini membimbangkan ekoran pada tahun lalu, MCMC telah menurunkan hantaran sama berjumlah 63,652.
“Dan pada tahun 2023, hanya 6,297 hantaran bersifat sama diturunkan. Jika dilihat, penyalahgunaan sosial media semakin meningkat dengan mendadak dan kerana itu, pentingnya kempen Internet Selamat ini diperluaskan,” katanya.







