
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam laporan terbaharu memaklumkan, jumlah pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih aktif meningkat kepada 28 di tujuh daerah terjejas.
Daerah yang terlibat ialah Beaufort, Penampang, Tawau, Membakut, Papar, Putatan dan Sipitang dengan keseluruhan 128 kampung terkesan akibat hujan lebat dan tanah runtuh sejak minggu lalu.
Daripada jumlah itu, daerah Sipitang mencatat peningkatan dengan 103 keluarga melibatkan 285 mangsa daripada 20 kampung, manakala Papar turut merekodkan kenaikan dengan 105 keluarga membabitkan 369 mangsa daripada 20 kampung.
Sementara itu, daerah Penampang, Membakut dan Putatan menunjukkan trend menurun dengan masing-masing merekodkan 171 keluarga (639 mangsa), 291 keluarga (985 mangsa) dan 143 keluarga (567 mangsa).
JPBN turut memaklumkan tiada pertambahan kes kematian, kekal 13 orang setakat ini.







