
MALAYSIA akan memberikan sepenuh komitmen bagi menyertai gabungan BRICS iaitu bersama-sama negara Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan perkara ini semasa lawatan Rustam Minnikhanov, iaitu Rais (Ketua) Republik Tatarstan, sebuah wilayah di Rusia.
“Perbincangan kami turut menyentuh penyertaan Malaysia ke dalam gabungan BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan). Saya mempertegaskan komitmen Malaysia untuk menyertai gabungan ini, seperti mana yang telah dinyatakan kepada Rusia sebelum ini,” katanya di Facebook pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau berkata, mereka turut membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala antara Rusia dengan dunia Islam, khususnya membabitkan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
“Kami turut gunakan kesempatan ini untuk meneroka potensi memperluaskan kerjasama dalam pelbagai bidang, terutamanya dalam sektor halal, selain usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan,” katanya.