
KUALA LUMPUR – Malaysia menyokong pelan damai yang diasaskan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump secara bersyarat selagi ia menjamin hak-hak rakyat Palestin dan menghentikan penderitaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia tidak menerima pelan secara menyeluruh tetapi menyokong usaha damai secara bersyarat dengan menentang keganasan dan penjajahan Israel.
Menurutnya, pendirian itu masih konsisten dengan dasar luar Malaysia yang menuntut keadilan, kemanusiaan dan kedaulatan Palestin.
“Kita masih teguh dengan pendirian menyokong penubuhan negara Palestin yang berdaulat dan mahu penyelesaian berasaskan undang-undang antarabangsa. Isu wilayah termasuk Tebing Barat perlu diselesaikan serta mengembalikan hak pelarian Palestin yang terusir dari Gaza dan wilayah lain.
“Pendekatan ini juga melalui dua peringkat, pertama hentikan serangan dan buka laluan bantuan kemanusiaan. Peringkat kedua, rundingan menyeluruh untuk penyelesaian konflik berasaskan undang-undang antarabangsa dan konvensyen dunia,” katanya semasa Sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Perdana Menteri berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen BN Paya Besar berkenaan pendirian kerajaan terhadap Pelan Damai yang dikemukakan oleh Presiden AS berhubung konflik Palestin-Israel serta sejauh mana pelan tersebut selaras dengan prinsip dan usaha Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin dan kedaulatan negara itu.

Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan, Malaysia menyambut baik usaha damai yang turut disokong oleh negara-negara seperti Mesir, Qatar, Jordan, serta wakil dari Hamas dan Israel.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, Hamas turut memberikan maklum balas bertulis kepada Malaysia, menyokong inisiatif perdamaian selagi kepentingan Palestin dipertahankan.
“Malaysia menekankan pembunuhan dan pengeboman rakyat Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak mesti dihentikan segera.
“Keadaan kemanusiaan di Gaza sangat kritikal, hampir kebuluran. Maka, bantuan makanan, minuman dan ubat-ubatan mesti segera disalurkan,” katanya.
Pada Isnin, Presiden AS, Donald Trump tiba di Sharm el-Sheikh di Mesir, yang mana beliau menyertai beberapa pemimpin dunia di Sidang Kemuncak Keamanan Sharm el-Sheikh serta menandatangani perjanjian pelan damai Gaza.
Sidang kemuncak antarabangsa itu menghimpunkan lebih 20 pemimpin dunia, termasuk Trump dan Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi selaku tuan rumah, dalam usaha merangka pelan damai bersepadu selepas dua tahun konflik di Gaza.
Fasa pertama perjanjian gencatan senjata yang dimeterai minggu lalu turut merangkumi pembebasan tebusan serta tahanan Palestin, yang menjadi antara agenda utama sidang kemuncak itu.
Sidang kemuncak ini dijangka menjadi titik tolak penting dalam usaha diplomatik global untuk mengakhiri keganasan dan membina semula keamanan di rantau berkenaan.








