KUALA LUMPUR – Malaysia menegaskan pendirian tegas dengan menggesa supaya keganasan dihentikan segera, ketegangan diredakan serta saluran diplomasi diperkukuh semula berlandaskan undang-undang antarabangsa dan penghormatan terhadap maruah manusia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dunia ketika ini berdepan keadaan tidak menentu susulan konflik serta persaingan geopolitik yang semakin meruncing, justeru ketidakadilan dan kezaliman tidak boleh terus dibiarkan.
“Perang yang melanda Asia Barat hari ini yang dicetuskan rejim Israel dan didukung Amerika Syarikat (AS), persoalannya tidak lagi berlegar perihal angka korban dan kemusnahan infrastruktur semata, malah ia mencerminkan kecenderungan yang berbahaya untuk menunduk atau mendominasi ruang wilayah serta pengaruh tanpa menghiraukan aspek kemanusiaan.
“Mangsa paling besar tentunya wanita, kanak-kanak dan masyarakat yang dipaksa hidup dalam ketakutan, kehilangan dan trauma yang berpanjangan.
“Maka, dalam kerangka inilah Forum Ilmuwan Malaysia MADANI hari ini menjadi wahana penting untuk menilai secara adil cabaran geopolitik yang merundung dunia.
“Saya juga berbesar hati tatkala menyambut kehadiran Profesor Jeffrey Sachs sebagai pembicara undangan, seorang ilmuwan dan juga sahabat yang telah sekian lama menekuni persoalan pembangunan, kemiskinan dan tatanan dunia (world order),” katanya menerusi hantaran di Facebook, malam tadi.
Beliau berharap perbincangan ilmiah seumpama itu dapat terus merancakkan wacana pemikiran yang berani, adil dan berprinsip dalam mempertahankan rasionaliti serta martabat kemanusiaan sejagat.
Dalam hantaran berasingan di Facebook, Perdana Menteri turut menekankan bahawa kestabilan negara bergantung kepada kekuatan perpaduan rakyat serta kesediaan semua pihak untuk bergerak seiring dalam membina masa depan Malaysia yang lebih makmur dan berdaya tahan.
Menurutnya, lawatan beliau ke Sabah memberi peluang untuk bertemu dan menyantuni pelbagai lapisan masyarakat termasuk pemimpin tempatan, penjawat awam, peniaga kecil serta golongan muda yang dilihat sebagai harapan masa depan negeri dan negara.
“Sabah mengingatkan kita bahawa kekuatan Malaysia bukan sekadar pada hasil bumi, tetapi juga pada keharmonian rakyat yang hidup dalam semangat muafakat dan saling menghormati, selain komitmen Kerajaan MADANI untuk terus melaksanakan tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) demi kesejahteraan rakyat negeri ini,” katanya.






