MALAYSIA bersedia menghulurkan bantuan dan menyokong usaha kemanusiaan yang diperlukan di Myanmar dan Thailand yang terjejas dilanda gempa bumi kuat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia sentiasa menyokong dalam bersolidariti bersama negara ASEAN yang lain susulan musibah yang berlaku di negara itu.
Menerusi sokongan kuat negara serantau, beliau berharap negara yang terkesan dalam saat duka diberikan ketabahan dan pemulihan segera.
“Saya amat prihatin dengan gempa bumi kuat melanda tengah Myanmar dan utara Thailand, yang mengakibatkan kehilangan nyawa yang tragis serta kemusnahan teruk di Mandalay, Bangkok dan kawasan sekitarnya.
“Laporan mengenai bangunan runtuh, orang awam terperangkap serta jumlah korban yang semakin meningkat adalah amat membimbangkan.
“Kami juga sedang memantau dengan rapi perkembangan di selatan Yunnan, China, di mana gegaran turut dirasai dan kerosakan struktur dilaporkan.
“Bagi pihak Malaysia, saya mengucapkan takziah yang paling mendalam kepada semua yang kehilangan orang tersayang dan mendoakan kesembuhan bagi mereka yang cedera serta perlindungan bagi yang terjejas.
“Malaysia berdiri teguh dalam solidariti bersama negara jiran dan rakan-rakan dalam ASEAN.
“Kami mengambil maklum pengisytiharan darurat oleh pihak berkuasa di Myanmar serta penetapan Bangkok sebagai kawasan bencana oleh kerajaan Thailand,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Terdahulu, gempa bumi kuat berukuran magnitud 7.7 melanda tengah Myanmar sekitar tengah hari kelmarin, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), menyebabkan jalan raya retak di ibu negara, Naypyidaw serta gegaran dirasai di China dan Thailand.
USGS melaporkan pusat gempa terletak 16 kilometer (km) ke barat laut bandar Sagaing pada kedalaman 10km, berlaku sekitar jam 12.50 tengah hari waktu tempatan (0620 GMT).








