
LYON – Bermula hari ini sehingga 15 September 2024, pertandingan WorldSkills (WSC 2024) diadakan di Lyon, Perancis yang akan mempertandingkan sebanyak 62 jenis kemahiran.
Malaysia akan diwakili oleh 15 belia berkemahiran terdiri daripada pelajar Institusi Latihan Kemahiran Awam serta Institusi Pengajian Tinggi.
Para siswazah ini akan berentap dalam 14 bidang kemahiran seperti intergrasi sistem robot, penyelesaian perisian teknologi maklumat bagi perniagaan, teknologi kenderaan berat dan pembinaan digital.
Pada penyertaan kali ini, Malaysia menyasarkan sekurang-kurangnya memenangi tiga pingat.
Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Zuleah Darsong berkata golongan belia yang cenderung ke arah TVET berpeluang cerah memperoleh kerjaya yang cemerlang selain penerokaan sehingga ke peringkat global.
“TVET sememangnya mempunyai kerjaya pada masa depan, asalkan mereka mengikuti pengajian di institut kemahiran TVET dengan bersungguh-sungguh. Insya-Allah kejayaan akan menyusul bersama,” ujar Zuleah.
Tambah Zuleah lagi, kemahiran golongan belia dalam bidang seperti TVET amat diperlukan untuk membolehkan negara maju seiring perkembangan teknologi terkini.
“Kita berharap belia yang sertai pertandingan bagi edisi kali ini menjadi contoh kepada pelajar di institut kemahiran TVET awam atau swasta atau yang bakal mengikuti pengajian TVET,” kata Zuleah.
Zuleah juga yakin dengan persiapan akhir peserta dengan semangat yang tinggi akan memberi kejayaan kepada mereka.
TVET merupakan proses pendidikan yang lebih fokus kepada permintaan industri dengan tujuan menghasilkan tenaga kerja yang mahir dalam bidang tertentu.
Bidang ini tidak boleh lagi dilihat sebagai kerjaya pilihan kedua, kerana sudah pasti menjanjikan peluang pekerjaan yang tinggi.