
MALAYSIA akan merangka pendekatan diplomatik dan strategi baharu bagi memastikan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin dapat disalurkan dengan lebih berkesan, termasuk melalui laluan darat di sempadan Rafah, Mesir.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, inisiatif ini merupakan usaha berterusan Malaysia untuk menembusi sekatan yang dikenakan rejim Zionis, terutamanya selepas misi Global Sumud Flotilla (GSF) dipintas oleh tentera Israel baru-baru ini.
“Selepas pembentangan Belanjawan, sama ada Isnin atau Selasa minggu hadapan, saya akan mengadakan perbincangan bersama rakan-rakan, termasuk Nadir dan yang lain, bagi merangka strategi agar misi kemanusiaan ini dapat sampai ke Mesir dan seterusnya menembusi ‘tembok’ Rafah.
“Setelah rundingan dijalankan, saya sendiri akan menghubungi Presiden Mesir, Tuan Yang Terutama Abdul Fattah al-Sisi, untuk memudahkan perjalanan misi kemanusiaan ini,” ujar beliau ketika berucap dalam Himpunan Solidariti Bersama Gaza yang berlangsung di Stadium Axiata Arena, Bukit Jalil pada Rabu.
Perdana Menteri berkata, usaha ini adalah simbol sokongan tidak berbelah bahagi Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin.
“Mesej apa lagi yang perlu? Dunia tidak boleh terus membisu. Kita bukan hidup dalam zaman barbarik. Dunia hari ini ialah dunia bertamadun. Maka, rakyat Gaza mesti dibebaskan dan diberikan makanan, minuman, pendidikan, rawatan perubatan dan hak beribadat,” tegasnya
Seramai kira-kira 20,000 orang menghadiri himpunan tersebut, termasuk 23 orang sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) yang baharu pulang ke tanah air, selain Jemaah Menteri dan pegawai kanan kerajaan.
Terdahulu, Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre, Datuk Dr Sany Araby Abdul Alim, telah menyerahkan memorandum kepada Perdana Menteri bagi memohon pertimbangan kerajaan untuk melancarkan Gelombang Kedua dan Ketiga Misi Kemanusiaan Sumud Nusantara ke Palestin.
Beliau turut memohon agar Perdana Menteri dapat memanfaatkan hubungan baik dengan Presiden Mesir bagi membolehkan laluan Rafah dibuka sebagai pintu masuk bantuan kemanusiaan ke Gaza.
“Berkenaan memorandum diatur gerak Sumud Nusantara ke bumi Mesir, saya tahu Datuk Seri (Anwar Ibrahim) ada hubungan baik dengan Presiden Abdul Fattah Al-Sisi, agar boleh main peranan luar biasa tak terjangkau oleh kita.
“Kami mohon izin untuk bagi laluan Sumud Nusantara Malaysia buat gelombang kedua hantar bantuan melalui darat. Kita tidak ada pilihan lain. Kami bersedia Insya-Allah.
“Untuk gelombang kedua dan ketiga, saya mohon Datuk Seri, andai esok Allah izinkan Gaza bebas dengan gencatan senjata… kami mohon Datuk Seri jadi tonggak, untuk jadi Chef de Mission pastikan Malaysia bebaskan dan bina sendiri Gaza,” katanya.








