
KUALA LUMPUR – Malaysia dipilih untuk menganggotai Lembaga Pengelola organ subsidiari Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi penggal 2025 hingga 2028.
Kementerian Luar dalam catatan terbaru melalui X, mengumumkan Malaysia dipilih sebagai Ahli Lembaga Pengelola Universiti Teknologi Islam (IUT) dan Pusat Pembangunan Perdagangan Islam (ICDT).
Menurutnya, pemilihan itu berlangsung pada Sesi Ke-46 Suruhanjaya Hal Ehwal Ekonomi, Kebudayaan dan Sosial Islam di ibu pejabat OIC di Jeddah, Arab Saudi, Isnin lalu.
“Malaysia berharap dapat memperkukuh kerjasama dalam kalangan negara anggota OIC, terutama dalam bidang pendidikan dan perdagangan,” katanya.
Menurut kementerian itu lagi, keanggotaan Malaysia dalam Lembaga Pengelola IUT akan diwakili oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), manakala Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pula dalam Lembaga Pengelola ICDT.
IUT adalah sebuah institusi pendidikan dan penyelidikan di Bangladesh yang ditubuhkan pada 1981 dengan objektif utama untuk menyumbang kepada pembangunan sumber manusia negara-negara anggota OIC, khususnya dalam bidang kejuruteraan, teknologi serta pendidikan teknikal.
Menurut laman sesawangnya, ICDT yang ditubuhkan di Casablanca pada 1984 pula bertanggungjawab mempromosikan perdagangan dan pelaburan di negara OIC.