BELAGA – Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Kapit 2024 bermula 7 Ogos hingga 8 Ogos di Dewan Serbaguna Kampung Melayu Belaga.
Majlis Tilawah Al-Quran ini merupakan anjuran Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dengan kerjasama Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Bahagian Kapit.
“Penganjuran pertandingan ini telah lama tidak diadakan di Belaga sejak 2014 yang lalu, kata Penghulu Abu Talip yang berucap pada Majlis Penangguhan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Kapit 2024.
Seramai enam qari dan lima qariah bertanding bagi merebut gelaran Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Kapit dalam pertandingan Tilawah Al-Quran pada malam Rabu.
Johan qari telah dimenangi oleh Najmuddin Rifaie dari Kapit manakala johan Qariah telah dimenangi oleh Sharifah Mariam Binti Haji Wan Mahamud dari Daerah Belaga.Najmuddin Rifaie dan Sharifah Mariam masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 berserta piala.
Naib johan Qari pula disandang oleh En Zuhri dari Daerah Belaga manakala naib johan Qariah oleh Saifah binti Atoi dari Daerah Song yang menerima wang tunai sebanyak RM700 serta piala.
Tempat ketiga dimenangi Mohamad Aiman bin Razali Qari dari Daerah Kapit dan Qariah Dayang Norlela binti Awang Nasir dari Daerah Belaga yang membawa pulang hadiah wang tunai RM500 serta piala.
Majlis Penangguhan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Bahagian Kapit disempurnakan oleh Setiausaha politik kepada Premier Sarawak Thomas Balan Bang mewakili Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap Adun Belaga Datuk Liwan Lagang.




