
PUTRAJAYA – Majikan tidak seharusnya mengambil kesempatan dengan memindahkan kenaikan kos operasi berikutan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu berkuat kuasa semalam, kepada pengguna.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, tindakan itu tidak wajar dilakukan susulan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan boleh membawa kepada inflasi lebih tinggi selain mengurangkan daya saing.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua majikan mematuhi pelaksanaan gaji minimum baharu itu dalam memastikan perniagaan di Malaysia dapat menarik tenaga kerja, meningkatkan produktiviti pengeluaran serta perkhidmatan yang sekali gus menyumbang kemajuan ekonomi negara.
“Majikan boleh meneroka pelbagai strategi bagi mengelakkan pemindahan kos kepada pengguna, antaranya dengan meningkatkan kecekapan operasi, melabur dalam peningkatan kemahiran pekerja serta menerima pakai teknologi baharu untuk memperbaiki operasi perniagaan.
“Namun, MEF mahu pelaksanaan kenaikan gaji ini perlu dilakukan secara seimbang bagi memastikan perniagaan, khususnya PMKS, dapat menyesuaikan diri tanpa mengalami tekanan kewangan yang berlebihan,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), hari ini.

Bermula semalam, seramai 4.37 juta pekerja akan menerima gaji minimum RM1,700 sebulan, berbanding RM1,500 sebelum ini berikutan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum baharu.
Dalam pada itu, Syed Hussain berkata, kerajaan diminta untuk terus memberikan sokongan yang sesuai kepada majikan, terutamanya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam bentuk insentif kewangan dan program latihan bagi membolehkan perniagaan menyesuaikan diri dengan keperluan baharu itu.
“Pelarasan gaji minimum bagi majikan yang mempunyai lima orang pekerja atau lebih, mencerminkan komitmen majikan untuk mewujudkan persekitaran kerja yang mampan dan inklusif, di mana setiap pekerja dihargai. MEF mengakui gaji yang adil dan kompetitif adalah penting untuk motivasi pekerja serta pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan.
“Pada masa sama, ia meningkatkan produktiviti, memastikan daya saing, dan menjamin kelestarian perniagaan. Kita melihat pelaksanaan gaji minimum RM1,700 sebagai peluang untuk meningkatkan kesejahteraan pekerja dan mendorong produktiviti,” katanya.
Syed Hussain menjelaskan, terdapat keperluan agensi kerajaan yang mempunyai kontrak dengan penyedia perkhidmatan sektor swasta, syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), serta syarikat besar tempatan dan asing digesa untuk segera menyemak semula kontrak sedia ada mulai hari ini.
“Ini bagi memastikan penyedia perkhidmatan dapat memenuhi kewajipan mereka dalam mematuhi kadar gaji minimum RM1,700. Alasan bahawa kontrak ditandatangani dan tidak boleh disemak semula tidak lagi boleh diterima.
“Semua rakyat Malaysia perlu bersatu bagi memastikan pelaksanaan gaji minimum baharu ini berjaya. Banyak PMKS memerlukan sokongan dan pelarasan segera daripada kadar gaji minimum RM1,500 kepada RM1,700 untuk baki tempoh kontrak yang masih berjalan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani berkata, kenaikan kadar gaji minimum adalah perkembangan positif dalam memastikan kesejahteraan pekerja terjamin, terutama dalam menghadapi peningkatan kos sara hidup yang sejajar dengan usaha kerajaan bagi memperkukuh kuasa beli pekerja selain memastikan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan serta inklusif.
Bagaimanapun, beliau berpandangan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) perlu mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan secara holistik bagi memastikan semua majikan mematuhi kadar gaji minimum yang ditetapkan dan objektif yang dihasratkan kerajaan tercapai.
“Undang-undang tanpa penguatkuasaan hanya akan menjadi dokumen tanpa nilai, membuka ruang kepada majikan tidak bertanggungjawab untuk terus
mengeksploitasi pekerja dengan membayar gaji di bawah kadar minimum. Oleh itu, MTUC menggesa JTK untuk mengambil tindakan tegas terhadap majikan yang gagal mematuhi perintah ini bagi memastikan tiada pekerja yang terpinggir daripada hak mereka.
“MTUC turut menyeru kerajaan dan majikan supaya mengiktiraf tahap pendidikan dan kemahiran pekerja dengan menetapkan gaji bermaruah berdasarkan kelayakan akademik dan pengalaman. Pekerja yang memiliki kelayakan akademik dan kemahiran tidak sepatutnya dikategorikan dalam kumpulan gaji minimum.
“Ini kerana akan merendahkan nilai pendidikan dan menjejaskan motivasi tenaga kerja muda untuk meningkatkan
kemahiran mereka. Justeru, MTUC gesa kerajaan memperkenalkan dasar gaji
bermaruah bagi mengiktiraf tahap pendidikan dan kemahiran dalam penetapan struktur gaji. Majikan juga perlu memainkan peranan dalam menyediakan skala gaji yang adil dan kompetitif bagi memastikan pekerja diberi ganjaran sewajarnya mengikut kelayakan mereka,” katanya.