
MUKAH – Seorang lelaki berumur 27 tahun ditahan polis selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti perjudian dalam talian menerusi permainan slot dalam satu serbuan di bandar pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Mukah, Muhamad Rizal Alias berkata, suspek warga tempatan itu ditahan kira-kira jam 4.30 petang tadi di kawasan kaki lima sebuah premis perniagaan di bandar Mukah.
Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap telefon bimbit suspek menemui satu aplikasi dipercayai digunakan untuk menjalankan aktiviti perjudian dalam talian.
“Telefon bimbit suspek telah dirampas untuk dijadikan barang kes dan turut dirampas wang tunai berjumlah RM35.00,” katanya ketika dihubungi TMP sebentar tadi.
Beliau berkata, suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah untuk tindakan lanjut.
“Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek juga mendapati lelaki itu negatif dadah,” tambah Rizal lagi.
Kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM50,000 atau penjara sehingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.





