
MAHKAMAH Rayuan pada hari ini telah membenarkan permohonan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menangguhkan perbicaraan kes saman sivil yang difailkan oleh bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther.
Kes saman tersebut yang berkaitan dengan satu insiden yang didakwa berlaku sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri, pada asalnya dijadualkan untuk perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bermula 16 Jun ini.
Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Datuk Supang Lian memutuskan bahawa semua prosiding berkaitan, termasuk perbicaraan penuh di Mahkamah Tinggi, ditangguhkan sementara sehingga keputusan terhadap permohonan penangguhan didengar dan ditentukan pada 21 Julai ini.
Turut bersidang dalam panel tersebut ialah Hakim Datuk Faizah Jamaludin dan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.
Dalam penghakimannya, Supang menyatakan bahawa selepas meneliti hujahan kedua-dua pihak, mahkamah berpendapat bahawa ia mempunyai kuasa di bawah Seksyen 44 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 untuk mengeluarkan perintah interim bagi memelihara integriti permohonan penangguhan yang dikemukakan oleh Anwar.
“Sehubungan itu, kami dengan ini mengeluarkan perintah ad-interim (relif sementara mengekalkan status quo) untuk menangguhkan semua prosiding, termasuk perbicaraan penuh di Mahkamah Tinggi , sementara menunggu pelupusan permohonan penangguhan oleh perayu,” katanya.
Sebelum ini, pada 6 Jun, peguam Datuk Seri Rajasegaran Krishnan memaklumkan kepada media bahawa permohonan penangguhan secara penuh akan didengar pada 21 Julai.



