
KUCHING – Usaha memberi penerangan berterusan kepada Ahli Parlimen berhubung Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dikenal pasti sebagai strategi kritikal bagi memastikan sokongan mencukupi semasa proses pengundian di Dewan Rakyat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, langkah itu penting memandangkan tahap pemahaman dan penerimaan setiap wakil rakyat adalah berbeza walaupun penjelasan menyeluruh telah diberikan.
Menurutnya, pendirian Ahli Parlimen boleh dikategorikan kepada dua kumpulan utama iaitu mereka yang mahu memahami serta menyokong, dan kumpulan yang faham namun enggan memberikan sokongan.
“Kita boleh mengkategorikan pendirian mereka; ada yang mahu ambil tahu, faham dan bersedia berdiri teguh bersama kita. Namun, ada juga yang walaupun sudah faham, tetap tidak mahu memberikan sokongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sesi ‘Fireside Chat’ sempena majlis makan malam Persatuan Oxford dan Cambridge (Oxbridge) Sarawak pada Ahad.
Mengulas lanjut, Fadillah menjelaskan mengenal pasti sokongan awal ini amat mustahak bagi merangka strategi politik yang lebih tersusun untuk blok Borneo, khususnya Sarawak dan Sabah.
Jelas beliau, ia menjadi penentu sama ada sesuatu usul atau pindaan berkaitan MA63 berpeluang cerah untuk diluluskan.
“Apabila sesuatu perkara perlu dibawa untuk undian, kita sudah tahu jumlah sokongan yang ada. Ini membolehkan kita merangka strategi awal sama ada mampu memperoleh sokongan majoriti dua pertiga atau sebaliknya sebelum usul dibentangkan,” ujarnya.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)






