
MELAKA – Polis menahan lima individu, termasuk seorang wanita berusia 19 tahun yang dipercayai ibu kepada bayi dalam kes penemuan rangka bayi di Kelemak, Alor Gajah di sini, pagi semalam.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, semua individu ditahan terdiri tiga wanita dan dua lelaki berusia antara 16 hingga 40 tahun.
Beliau berkata, wanita dipercayai melahirkan bayi itu serta teman lelakinya turut ditahan selain ibu wanita berkenaan, kakak serta adik lelakinya berusia 16 tahun.
“Semua mereka ditahan selepas menerima laporan polis berhubung kejadian itu.
“Polis akan mengemukakan permohonan reman di Mahkamah Majistret Alor Gajah esok (pagi ini) bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya ketika dihubungi Berita Harian.
Terdahulu, media melaporkan polis menemui rangka bayi dipercayai dilahirkan kira-kira empat bulan lalu tertanam di laman sebuah rumah di Kelemak di sini.




