
KENINGAU – Lelaki warga emas yang dilaporkan hilang bersama cucu lelakinya pada Selasa di Sungai Pagalan Taman Bersatu, di sini, ditemukan meninggal dunia manakala cucunya masih belum ditemui.
Mayat Fredoline Yariki, 60, ditemukan orang awam yang melakukan pencarian sejauh tujuh kilometer dari mereka dilaporkan hilang kira-kira pukul 5.21 petang.
Pemangku Ketua Balai BBP Keningau Desmon Al Mickey berkata, pada awal pagi Rabu, Pasukan Bomba bersama agensi penyelamat lain telah menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula pukul 6.10 pagi menggunakan kaedah ‘surface searching’ di Sungai Banjar dan Sungai Mempikit.
“Pada petang mangsa pertama (Datuk) ditemukan dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Bagaimanapun, Muhammad Aidan Ridwan berumur 10 tahun masih belum ditemui,” katanya dalam kenyataan media, pada Rabu.
Operasi kemudian ditangguhkan pukul 6.37 petang dan akan diteruskan pada Khamis.
Terdahulu, media melaporkan lelaki warga emas bersama cucunya hilang ketika memeriksa bot baharu di Sungai Pagalan.
Usaha pencarian kedua-duanya dilakukan keluarga namun gagal selain hanya menemui beg serta barangan peribadi mangsa di lokasi terbabit.




