KUANTAN – Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan mengangkat sumpah jawatan pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, hari ini.
Mereka adalah Datuk Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qari, Datuk Wong Tat Chee, Haris Salleh Hamzah, Mohd Fadzli Mohd Ramly dan Rizal Jamin.
Lima ADUN itu mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Speaker DUN Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin yang turut disaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Sementara itu, Mohd Sharkar berkata, pelantikan itu bertujuan membantu visi dan misi kerajaan negeri dalam penyampaian lebih cekap dan berkesan kepada rakyat.
Pada persidangan DUN Pahang pada 13 Mei lalu, pelantikan lima ADUN itu mendapat sokongan majoriti mudah selepas usul berkenaan dicadangkan Wan Rosdy dan disokong tujuh ADUN Pahang.
Wan Rosdy berkata, pelantikan ADUN lantikan itu mengambil kira latar belakang keluarga, pendidikan dan pencapaian serta komitmen dalam khidmat bakti kepada masyarakat.
“Mereka yang dilantik adalah dalam kalangan berkaliber dan berkemahiran tertentu serta sedia berganding bahu bersama ADUN lain untuk menyumbangkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat,” katanya.
Pada November 2020, DUN Pahang meluluskan usul meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang bagi melantik lima ADUN tanpa melalui proses pilihan raya.




