
PUTRAJAYA – Lembaga Disiplin Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat berhubung laporan Jawatankuasa Khas Siasatan berkaitan isu pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, beliau sudah menerima laporan terbabit daripada pengerusi jawatankuasa khas berkenaan yang juga Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar.
“Saya dah terima (laporan jawatankuasa khas). Saya pun dah panjangkan laporan itu ke JPA dan kita akan adakan mesyuarat ‘disciplinary board’ (lembaga disiplin) dalam masa terdekat,” katanya lapor BH.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Bubur Lambuk serta Penyerahan Light-Off Road Vehicle kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Dr M Noor Azman Taib serta Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Nor Hisham Mohammad.
Kerajaan sebelum ini menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi menyiasat segala dakwaan dan perkara berbangkit yang dikaitkan dengan Azam.
Ia susulan Bloomberg dalam laporannya mendakwa Azam memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Bagaimanapun, Azam pada sidang media menegaskan pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.
Mengulas lanjut, Shamsul Azri berkata isu terbabit juga dijangka dibincangkan pada mesyuarat Kabinet esok.
Terdahulu, beliau menyempurnakan penyerahan 6,000 bubur lambuk kepada kementerian serta agensi yang dikenal pasti.
Pada majlis sama, turut diadakan penyerahan fasa pertama 40 kenderaan Light-Off Road jenis Toyota Hilux kepada JBPM.




