
MANJUNG – Seorang lelaki berusia 21 tahun menemui ajal di tempat kejadian selepas kenderaan jenis Perodua Bezza yang dipandunya dipercayai terbabas sebelum melanggar sebatang pokok, awal pagi Sabtu.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, kejadian maut tersebut berlaku berdekatan Bangunan Persekutuan Seri Manjung sekitar jam 2.10 pagi.
“Kemalangan jalan raya melibatkan sebuah kereta terbabas dan melanggar sebatang pokok berhampiran Bangunan Persekutuan Seri Manjung.
“Seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung bergegas ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan,” katanya.
Jelasnya lagi, terdapat seorang mangsa lelaki iaitu pemandu kereta, tersepit dan disahkan maut di lokasi oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Ketua operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat dan menyerahkan kes kepada polis bagi tindakan selanjutnya,” ujar Sabarodzi dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tambahnya,operasi yang diketuai oleh PBK II TBK Zaimi Mohd Noh itu tamat pada jam 2.58 pagi.






