
KOTA MARUDU – Seorang lelaki naik atas bumbung kereta untuk menyelamatkan diri apabila kenderaan dipandunya hanyut oleh arus deras semasa cuba menyeberangi jalan konkrit di Kampung (Kg) Sungai Simpangan, di sini pada Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Hasbi Hajat berkata, semasa tiba di lokasi sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux telah hanyut oleh arus deras sungai.
“Kejadian berlaku ketika mangsa yang memandu keretanya cuba untuk menyeberangi sungai tersebut.
“Mangsa berada di atas bumbung kereta bagi menyelamatkan dirinya sebelum ketibaan bomba,” katanya dalam kenyataan itu pada Jumaat.
Menurut Hasbi, pasukan bomba berjaya menyelamat mangsa dengan memindahkan mangsa ke tempat selamat.
“Seramai lapan orang anggota bomba lengkap berpakaian Peralatan Pelindung Peribadi (PPE) bertindak menyeberang sungai bagi menyelamatkan mangsa dengan menggunakan tali.
“Setelah keadaan terkawal pada pukul 5.50 petang, pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi dan menamatkan operasi pada pukul 6.08 petang,” katanya.




