
KUCHING – Seorang lelaki warga tempatan maut selepas motosikal hilang kawalan di Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce pada malam tadi.
Difahamkan kejadian tersebut berlaku pada 11.20 malam yang mengorbankan mangsa 25 tahun akibat kecederan parah yang dialami.
Mangsa dibawa ke Hospital Umum Sarawak disahkan meninggal dunia pada 12.27 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee Abdullah berkata mangsa menunggang motosikal dalam perjalanan dari arah Jalan Stakan ke Jalan Satok.
“Motosikal mangsa tiba-tiba hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar batang pokok di jalan sebelah kiri,” katanya dalam kenyataan rasmi.
Jelas beliau, motosikal mangsa turut terbakar dan mangsa dipercayai terpelanting ke arah jalan.
Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dengan melulu atau merbahaya sehingga menyebabkan kematian yang boleh membawa hukuman penjara selama 10 tahun dan denda sebanyak RM 50,000 jika sabit kesalahan.
Menurut beliau, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil untuk membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Shazwina Alfera Ah Yit @ Suaip di talian 082-259900 atau mana-mana balai polis yang berhampiran.