TAWAU – Seorang penunggang motosikal maut selepas dipercayai merempuh sebuah lori yang berhenti akibat kerosakan tanpa peranti keselamatan dalam kejadian di Jalan Sungai Burung, Jalan Apas, pagi Jumaat.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu kira-kira pukul 6.05 pagi.
“Siasatan awal mendapati, pada Rabu, lori Rigid membawa muatan baja berkenaan yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berumur 46 tahun dalam perjalanan dari Batu 8, Jalan Apas menuju ke Beluran Kira-kira pukul 10.30 malam.
“Lori itu kemudiannya mengalami kerosakan mekanikal serius sehingga menyebabkan enjin mati secara tiba-tiba dan tidak dapat dihidupkan semula.
“Susulan kejadian itu, lori berkenaan berhenti di atas laluan kiri jalan menghala ke Jalan Apas dan tidak dialihkan dari laluan utama selama lebih kurang dua hari,” katanya dalam kenyataan media, pada Jumaat.
Siasatan turut mendapati kawasan kejadian tidak mempunyai lampu jalan serta tiada papan tanda amaran atau peranti keselamatan diletakkan oleh pemandu lori bagi memberi amaran kepada pengguna jalan raya lain.
Menurut Jasmin, kira-kira pukul 4.30 pagi Jumaat, mangsa dari Batu 15, Jalan Apas menuju ke tempat kerja di Kilang Teck Guan telah melanggar bahagian belakang sebelah kanan lori tersebut.
“Akibat perlanggaran itu, penunggang motosikal telah tercampak ke lorong kanan jalan dan mengalami kecederaan parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan dari Klinik Kesihatan Balung.
“Pemandu lori turut ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan.
Dalam pada itu, Jasmin menasihati orang ramai agar peka dengan langkah keselamatan khususnya memastikan kenderaan yang rosak dialihkan ke tempat selamat serta dipasang papan tanda amaran terutamanya di kawasan gelap bagi mengelakkan kejadian yang boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya lain.
SPRM tahan penjawat awam disyaki kemuka dokumen butiran palsu kira-kira RM1.3 juta
KOTA KINABALU – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan seorang penjawat awam kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu melibatkan tuntutan kerja-kerja pembersihan berjumlah kira-kira RM1.3 juta. Menurut…
Lebih lanjut



