
SIBU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak melancarkan Ops Krismas 2025 yang akan dilaksanakan bermula 19 hingga 28 Disember depan bersempena musim perayaan Krismas dan cuti sekolah dengan tumpuan utama diberikan kepada aspek keselamatan jalan raya serta pengangkutan awam khususnya bas ekspres.
Pelancaran operasi berkenaan telah diadakan di Terminal Bas Sibu dan disempurnakan oleh Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ Malaysia, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan sebagai langkah proaktif bagi memperkukuh penguatkuasaan dan advokasi keselamatan jalan raya sepanjang tempoh perayaan.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa pelaksanaan Ops Krismas 2025 bertujuan memastikan keselamatan pengguna jalan raya sentiasa terpelihara di samping menjamin kelancaran aliran trafik khususnya ketika peningkatan pergerakan orang ramai sempena musim perayaan.
Menurut beliau, usaha bersepadu antara agensi penguat kuasa amat penting bagi mewujudkan persekitaran perjalanan yang selamat dan teratur sekali gus mengurangkan risiko kemalangan jalan raya yang sering meningkat ketika musim perayaan.
Sementara itu, Pengarah JPJ Sarawak Norizan Jili berkata, Ops Krismas tahun ini memberi penekanan khusus kepada pemeriksaan keselamatan di terminal-terminal bas utama di seluruh Sarawak termasuk di Kuching, Sibu dan Miri selain kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi kerap berlaku kemalangan.
Beliau berkata, pemeriksaan yang dijalankan melibatkan aspek teknikal kenderaan seperti sistem brek dan keadaan bunga tayar bagi memastikan setiap bas berada dalam keadaan selamat sebelum dibenarkan memulakan perjalanan.
Menurutnya, keselamatan penumpang menjadi keutamaan JPJ terutama ketika peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan pengangkutan awam sempena musim perayaan dan cuti sekolah.
Dalam pada itu, JPJ Sarawak turut menjalinkan kerjasama strategik bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dengan mewajibkan semua pemandu bas menjalani ujian saringan air kencing sepanjang tempoh operasi bagi memastikan mereka bebas daripada pengaruh dadah.
Beliau menegaskan bahawa pemandu yang didapati positif akan digantikan serta-merta oleh syarikat pengendali sekali gus memperlihatkan komitmen kerajaan dalam memastikan keselamatan dan nyawa penumpang sentiasa terjamin.
Selain penguatkuasaan, JPJ juga melaksanakan operasi penyamaran di dalam bas bagi memantau tahap pematuhan peraturan termasuk kewajipan pemakaian tali pinggang keledar oleh penumpang. Tindakan saman akan dikenakan tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Dalam pada itu, orang ramai, khususnya penumpang bas digesa agar berperanan sebagai mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengesan pemandu memandu secara berbahaya menggunakan telefon bimbit atau melebihi had laju.
Beliau berkata, kerjasama orang awam amat penting memandangkan pihak penguat kuasa tidak mampu berada di semua lokasi pada setiap masa dan setiap laporan yang diterima akan diambil tindakan segera.

Ops Krismas 2025 merupakan sebahagian daripada usaha berterusan JPJ bersama agensi rakan strategik seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan AADK dalam memperkukuh keselamatan jalan raya sekali gus memastikan perjalanan orang ramai sepanjang musim perayaan berlangsung dengan selamat dan lancar.




