KOTA BELUD – Seorang lelaki kurang siuman yang mengganggu pekerja di kedai cermin mata Robert di daerah itu, berjaya ditahan oleh pihak polis selepas video kejadian itu tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintenden Shahrudin Mat Husain berkata, siasatan mendapati suspek merupakan pesakit mental berusia 38 tahun yang sedang menerima rawatan psikiatri di Hospital Kota Belud.
“Suspek tidak mempunyai tempat tinggal tetap dan hidup secara gelandangan di sekitar pekan Kota Belud.
“Kami telah menerima laporan mengenai gangguan yang dilakukan suspek terhadap ketenteraman dan keselamatan orang awam,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Sehubungan itu, susulan laporan tersebut suspek ditahan dan dibawa ke hospital daerah berkenaan bagi pemantauan sebelum dihantar ke Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu untuk rawatan selanjutnya.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian tersebut kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan.
Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud menerusi talian 088-976600 atau 019-2188334.




