
KALABAKAN – Seorang lelaki yang hilang semasa mencari hasil hutan dan memancing di Batu 32 Jalan Kalabakan-Maliau Basin, sejak 14 Oktober lepas, ditemukan selamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, mangsa Khairul Saharin, 31, ditemui di kawasan Permatang oleh Pasukan Gerakan Am (Platoon Tiger) kira-kira pukul 7.45 pagi.
“Mangsa dilaporkan selamat dan telah dihantar ke Klinik Kesihatan kalabakan menaiki Ambulans Angkatan Pertahanan Awam untuk rawatan lanjut.
“Operasi ditamatkan pada pukul 10.35 pagi selepas Mencari dan Menyelamat (SAR) hari keenam dijalankan,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.

Terdahulu, Khairul dikhuatiri hilang selepas sepupu mangsa yang bersama-samanya memasuki hutan tidak dapat menghubungi mangsa dan tidak kembali ke tapak perkemahan pada 14 Oktober.
Bilik Kawalan BBP Tawau yang mendapat maklumat sehari selepas itu daripada Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kalabakan kemudiannya mengaktifkan SAR.







