KUANTAN – Seorang lelaki dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot ketika memancing di Sungai Kampung Kedaik Lama, dekat Muadzam Shah, pagi tadi.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, berdasarkan maklumat awal, mangsa dikenali sebagai Sharuddin, 43 tahun.
Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu daripada rakan mangsa pada jam 10.28 pagi.
“Susulan maklumat diterima, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Muadzam Shah digerakkan ke lokasi kejadian.
“Tempat mangsa memancing terletak kira-kira 77 kilometer dari balai dan pegawai dan anggota memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejurus tiba di situ.
“Operasi SAR dibantu anggota Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) dari BBP Pekan,” katanya, seperti dilapor Sinar Harian.
Zulfadli berkata, ketika ini operasi SAR masih dijalankan di sekitar sungai berkenaan dan kawasan berhampiran.



