
MUKAH – Seorang lelaki warga tempatan ditemukan meninggal dunia di kawasan taman permainan kanak-kanak Dataran Pehin Setia Raja pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Mukah, DSP Muhamad Rizal Alias berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam sekitar jam 8 pagi berhubung penemuan lelaki berusia 26 tahun itu.
Menurutnya, sepasukan polis telah bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan.
“Hasil siasatan awal tidak menemui sebarang kesan pergelutan atau unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Tambah beliau, pihak perubatan yang turut berada di lokasi telah mengesahkan kematian mangsa sebelum mayat dihantar ke Hospital Mukah untuk tindakan lanjut.
Kes tersebut diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
Sehubungan itu, polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.







