
MUAR – Seorang lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret Muar hari ini atas pertuduhan membunuh ibu bapa dan anak saudaranya sebelum membakar kediaman yang didiami mereka di Kampung Paya Redan, Pagoh di sini, dua minggu lalu.
Tertuduh Azman Mohamed Nor, 48, yang berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu hanya menunduk faham di hadapan Majistret Suzana Mokhtar.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah melakukan bunuh ke atas Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82, Ara Ab Hamit, 76, dan Noradriana Nor Hasyim, 11, antara jam 1 pagi sehingga 3 pagi di rumah alamat No.33, Jalan Sekolah Kampung Paya Redan, dalam daerah Muar pada 9 Ogos 2024.
Tertuduh yang juga anak sulung kepada mangsa didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun dengan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Arif Marzuki tidak mencadangkan sebarang jaminan dan memohon tarikh baharu dalam tempoh dua bulan sementara menunggu laporan forensik dan bedah siasat memandangkan mangsa adalah tiga orang.
Majistret Suzana kemudian membenarkan permohonan berkenaan dan menetapkan 24 Oktober ini sebagai sebutan semula kes.
Sementara itu, dalam prosiding berasingan, tertuduh mengaku salah di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah ke atas Norazmina Mohd Razi, 14.
Mengikut pertuduhan, tertuduh mendatangkan kecederaan itu dengan menggunakan sebatang kayu iaitu satu senjata yang boleh menyebabkan kematian jika digunakan sebagai senjata.
Bagaimanapun, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Danial Munir memohon tarikh baharu bagi mendapatkan fakta lengkap dan hukuman.
Hakim, Nariman Badruddin kemudian menetapkan 12 September ini sebagai tarikh jatuh hukum selain tidak membenarkan sebarang jaminan.
9 Ogos lalu, kediaman dihuni tertuduh bersama ibu bapa dan dua anak saudaranya musnah terbakar.
Kejadian itu menyebabkan ibu bapa tertuduh maut dalam kebakaran sehingga rentung hampir 100 peratus.
Manakala, anak saudaranya berusia 11 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.
Insiden itu turut menyebabkan seorang lagi anak saudaranya berusia 14 tahun mengalami kecederaan parah.
Polis yang pada awalnya mengklasifikasi kes sebagai mati mengejut menukar siasatan kepada 302 kanun keseksaan kerana membunuh selepas mendapati terdapat unsur jenayah pada badan ketiga-tiga mangsa yang maut.