
KUCHING – Seorang lelaki cedera selepas kereta yang dipandunya melanggar sebuah bas dalam kemalangan di Jalan Tabuan Jaya pada awal pagi Selasa.
Dalam kejadian sekitar jam 5.43 pagi itu, pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya bergegas ke lokasi sebelum tiba kira-kira sembilan minit kemudian.
Komander Operasi, PBK I Said Muhammad Imran Sahul Hamid berkata, setibanya di lokasi, pihaknya mendapati seorang mangsa lelaki dewasa masih berada di dalam kereta namun tidak tersepit, manakala pemandu dan penumpang bas tidak berada di dalam kenderaan tersebut.
“Pasukan bomba menggunakan peralatan khas RTA rescue tool bagi mengeluarkan mangsa dari kereta sebelum diserahkan kepada petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut,” katanya.
Mangsa kemudian dibawa ke hospital berhampiran bagi mendapatkan rawatan.
Operasi turut melibatkan enam anggota bomba bersama sebuah jentera CFRT, selain bantuan daripada pasukan KKM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7.19 pagi selepas kawasan kejadian dibersihkan dan disahkan selamat.







