JAKARTA – Agensi Bencana Indonesia melaporkan peningkatan ketara angka korban susulan banjir besar dan tanah runtuh di Sumatera, dengan sekurang-kurangnya 604 kematian direkodkan setakat ini, lapor agensi berita Jerman dpa.
Hujan lebat yang melanda sebahagian besar Sumatera minggu lalu menyebabkan air sungai melimpah, mencetuskan tanah runtuh dan menenggelamkan seluruh daerah.
Badan Pengurusan Bencana Negara (BNPB) memaklumkan seramai 464 orang masih hilang, manakala 2,600 lagi cedera.
Lebih 1.5 juta penduduk terjejas dan sekitar 570,000 orang terpaksa meninggalkan rumah – kebanyakannya berlindung di bangunan awam yang sesak – dengan akses terhad kepada air bersih dan bekalan elektrik.
![]()
Kemusnahan terburuk dilaporkan di Sumatera Utara yang merekodkan sekurang-kurangnya 283 kematian.
Di Sumatera Barat, pihak berkuasa mengesahkan 165 kematian, manakala 156 orang terkorban di Aceh.
BNPB berkata, kerajaan daerah berdepan kesukaran memulihkan rangkaian komunikasi dan menghubungi komuniti yang terputus hubungan akibat jambatan runtuh, jalan rosak dan talian elektrik terputus.
Indonesia, sebuah negara dengan lebih 17,000 pulau, adalah antara negara paling terdedah kepada bencana alam di dunia.








