JEDDAH – Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi mengumumkan lebih 1.2 juta jemaah dari 109 negara memasuki negara itu untuk menunaikan umrah sejak permulaan musim pada 15 Zulhijah lalu.
Menurut Agensi Berita Saudi (SPA), kementerian itu mencatatkan peningkatan 30 peratus dalam bilangan jemaah umrah dengan visa umrah, berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.
Terdapat peningkatan 27 peratus dalam jumlah visa umrah dikeluarkan dengan lebih 4,200 kontrak ditandatangani antara syarikat umrah dan ejen luar, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan operasi dalam menyambut kedatangan jemaah.
Kementerian itu sebelum ini mengumumkan permulaan musim umrah pada 14 Zulhijah 1446 Hijrah, dengan visa dikeluarkan melalui platform ‘Nusuk’ menandakan fasa baharu kemudahan untuk jemaah, selaras dengan perjalanan pembangunan Arab Saudi di bawah Wawasan 2030.
Kementerian itu menyatakan permintaan semakin meningkat untuk umrah adalah susulan musim haji yang berjaya, yang dicirikan dengan pelaksanaan bersepadu, prosedur ditambah baik dan pembangunan infrastruktur teknikal.
Kementerian juga memperluas kandungan kesedaran dan perkhidmatan digital dalam pelbagai bahasa.






