
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, meneruskan hari ketiga lawatan kerja ke Republik Rakyat China dengan mengadakan pertemuan serta perbincangan bersama barisan kepimpinan tertinggi negara itu, bertujuan memperkukuh hubungan strategik dua hala dan memperluas kerjasama dalam bidang perdagangan.
Pada hari ini, agenda utama beliau ialah mengadakan kunjungan hormat terhadap Presiden, Xi Jinping, yang dijadualkan berlangsung pada pukul 6 petang di Great Hall of the People.
Pertemuan ini merupakan simbol komitmen Malaysia untuk terus memperkukuh hubungan diplomatik yang telah lama terjalin antara Kuala Lumpur dan Beijing.
Pertemuan hari ini juga merupakan kali keempat kedua-dua pemimpin bertemu secara bersemuka, selepas perjumpaan terakhir mereka di Putrajaya semasa lawatan negara oleh Presiden Xi ke Malaysia pada April lalu.
Selepas itu, Perdana Menteri dijadualkan bertemu dengan rakan sejawatnya, Perdana Menteri China, Li Qiang, bagi sesi mesyuarat dua hala.
Mesyuarat tersebut akan disusuli dengan majlis makan malam khas yang dihoskan oleh Li di Rumah Tamu Negara Diaoyutai, sebagai tanda penghormatan kepada Anwar.
Memetik Bernama, menurut Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Norman Muhamad, majlis makan malam itu merupakan satu-satunya acara eksklusif yang dianjurkan oleh pihak kerajaan China untuk mana-mana pemimpin asing yang melawat negara itu dalam tempoh ini, atas pihak Xi.
Dalam jadual hari yang padat, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan dengan dua entiti perniagaan utama China, iaitu JD.com dan Persatuan Industri Semikonduktor China (China Semiconductor Industry Association – CSIA).
JD.com merupakan syarikat e-dagang terbesar di China serta tersenarai dalam NASDAQ 100 dan Fortune Global 500.
Dengan lebih 580 juta pengguna di seluruh negara, syarikat ini menerajui infrastruktur pemenuhan pesanan terbesar di China, membolehkan 90 peratus penghantaran dilakukan pada hari yang sama atau keesokan harinya.
CSIA pula ialah sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang menghimpunkan syarikat, pakar dan institusi yang terlibat dalam sektor pembuatan, reka bentuk serta pembangunan berkaitan industri semikonduktor.
Selain itu, Anwar juga dijadualkan menghadiri Dialog Perniagaan dan Ekonomi Malaysia–China yang menghimpunkan seramai 180 pemimpin perniagaan dan industri dari China, merangkumi pelbagai sektor ekonomi.
Lawatan rasmi Perdana Menteri ke China kali ini turut disertai oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook; serta Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.






