
MALAYSIA berjaya meraih potensi pelaburan berjumlah RM8.13 bilion hasil lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Itali yang berakhir hari ini.
Pelaburan tersebut merangkumi sektor petrokimia, jentera dan peralatan, elektrik dan elektronik (E&E), serta perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas.
Selain itu, lawatan berkenaan turut menjana potensi eksport bernilai RM425 juta melibatkan produk oleokimia, suapan bio bahan api, aditif makanan ternakan dan makanan.
Mesyuarat dua hala yang diadakan sepanjang lawatan itu membabitkan penyertaan 41 syarikat dari Itali, dengan 23 daripadanya dalam sektor pembuatan, sembilan dalam sektor perkhidmatan, dua dalam sektor perdagangan, lima agensi kerajaan dan dua pertubuhan industri.
Menurut Anwar, salah satu pencapaian penting dalam lawatan tersebut ialah komitmen Itali untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Malaysia, serta memperluas kerjasama antara Kesatuan Eropah (EU) dan ASEAN.
“Seperti mana kita sedia maklum, beberapa persetujuan kerangka dalam merancakkan kegiatan ekonomi dicapai, ada projek bersama antara Petronas dan syarikat Eropah berpangkalan di Itali yang mempunyai kekuatan dari segi biokimia dan pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) iaitu ENI.
“Termeterai perjanjian antara mereka dan sekarang kita nampak ada syarikat Jepun dan Indonesia, Pertamina mahu bersama. Sebaik sahaja dilancarkan nanti, ia adalah antara projek terbesar di rantau ini yang membabitkan CCUS dan biokimia,” katanya dalam sidang media bersama wartawan Malaysia.
Sidang media berkenaan diadakan sempena berakhirnya lawatan kerja beliau ke Itali dan rakamannya turut dikongsi bersama pihak media di Kuala Lumpur.
Lawatan tersebut turut disertai oleh Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; serta Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Lawatan itu merupakan jemputan rasmi oleh Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni.
Mengulas lanjut, Anwar memaklumkan bahawa satu lagi projek penting yang dijangka dimeterai menjelang Disember ini ialah kerjasama antara Perodua dan syarikat Itali, Magna Steyr, dalam pembangunan bateri kenderaan elektrik (EV).
Menurut beliau, perkembangan itu mencerminkan keyakinan pelabur Itali terhadap potensi syarikat tempatan.
Dalam pada itu, beliau turut menyentuh kolaborasi antara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan beberapa syarikat termasuk APG bagi pelaburan dalam grid elektrik, dengan penekanan kepada penjanaan tenaga dari Vietnam ke Malaysia melalui Kelantan, Terengganu, Pahang, Selangor dan Johor sebelum disalurkan ke Singapura.
Usaha ini sejajar dengan hasrat mewujudkan kerjasama tenaga serantau ASEAN.
Dari segi pertahanan, Perdana Menteri menjelaskan bahawa Malaysia telah membuat keputusan untuk memperoleh dua pesawat rondaan maritim serta 28 helikopter Leonardo AW149 dari Itali.
Perkara itu turut dibincangkan secara terperinci oleh Menteri Pertahanan dan rakan sejawatnya dari Itali, termasuk aspek pemindahan teknologi dan pemusatan latihan di Lapangan Terbang Batu Berendam.
Tambah beliau, dalam pertemuan bersama Timbalan Perdana Menteri Itali, pelbagai isu turut dibincangkan, termasuk pelaburan, perdagangan, kerjasama EU-ASEAN serta perkembangan di Gaza dan Iran.
Justeru, Anwar berkata, Malaysia berpendirian tegas untuk menjamin keadilan berhubung keganasan Israel ke atas Gaza dan pencerobohan terhadap Iran.
“Pemusatan perbincangan kita adalah kedamaian yang boleh menjamin keselamatan rantau. Dalam pertemuan kemuncak dengan Meloni, tentulah kita menegaskan beberapa projek yang sedang dalam perbincangan, umpamanya projek besar antara Petronas dengan ENI.
“Kita tegaskan juga kepada Perdana Menteri Itali, pandangan mengenai Gaza dan mengucapkan terima kasih atas persetujuan mereka dalam kenyataan meminta hentikan serangan ke atas Gaza serta beri laluan bantuan kemanusiaan,” katanya.