
LAPORAN polis telah dilakukan terhadap Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson Badrul Hisham Shaharin yang didakwa mengutip dana awam dengan menggunakan akaun bank peribadi.
Beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Chegubard telah menjalankan kutipan sumbangan menerusi akaun Facebook peribadi tanpa pengetahuan atau kebenaran rasmi daripada pihak Bersatu bahagian Port Dickson.
Justeru, Naib Ketua Bersatu Bahagian Port Dickson Mohd Shuhazlan Ali telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut di Balai Polis Port Dickson, malam tadi.
Tegasnya, Chegubard telah melakukan tindakan yang dipercayai melanggar prosedur serta mencemar integriti organisasi.
Shuhazlan mendakwa, Chegubard telah melakukan kesalahan susulan menggunakan akaun bank peribadi untuk mengutip sumbangan atau dana awam bagi tujuan pembelian beras untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan.
“Sehingga laporan ini dibuat, jumlah kutipan yang berjaya dikumpul dianggarkan lebih kurang berjumlah RM3,294,” menurut laporan polis yang didedahkan kepada TMP, hari ini.
Shuhazlan menegaskan, tindakan Chegubard itu telah menimbulkan syak wasangka serta berpotensi menjejaskannama baik parti di peringkat bahagian mahu pun pusat.
“ia juga dilihat bertentangan dengan tatacara pengurusan kewangan parti yang telah ditetapkan dan beliau secara ‘fraud’ mengutip sumbangan untuk tujuan peribadi,” katanya.






