
TAWAU – Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Tan Sri Liew Yun Fah menafikan laporan sebuah portal media yang mendakwa beliau menyokong mana-mana calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai sekali gus menyifatkan dakwaan itu tidak benar dan hanya spekulasi.
“Saya mengesahkan laporan media itu adalah tidak tepat kerana saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan berkaitan sokongan kepada mana-mana calon termasuk di Merotai.
“Sehingga kini, belum ada sebarang keputusan mengenai calon bertanding kerana masih dalam perbincangan jawatankuasa yang terdiri daripada wakil Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Pakatan Harapan (PH).
“Di peringkat GRS pula, kita juga masih dalam perbincangan dan pastinya akan menjaga kepentingan setiap parti komponen yang ada,” katanya dalam kenyataan, pada Selasa.
Menurut Yun Fah, portal berkenaan telah mengakui berlaku kesilapan dalam laporan mereka dan berita itu hanya bersifat spekulasi semata-mata.
Justeru, beliau menasihatkan semua pihak terutama media supaya tidak menyiarkan sebarang laporan yang tidak sahih bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) Sabah.
“Bagaimanapun, saya mengucapkan terima kasih kepada media kerana prihatin dengan DUN dan suara orang Merotai.
“Setidaknya, suara orang kampung saya Merotai, kedengaran sampai di Kuala Lumpur,” ujarnya.
Pada Isnin, tular di media sosial sebuah portal media dengan kapsyen ‘Liew Yun Fah akur keputusan Hajiji, isyarat sokong Ruji di Merotai’.







