
KUCHING – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri berpesan kepada kaum lelaki yang bergelar suami agar tidak mengabaikan nafkah yang sepatutnya diberikan kepada isteri masing-masing.
Beliau berkata, golongan wanita perlu dihormati dan dibantu di mana kementerian beliau telah menyenaraikan jumlah ibu tunggal miskin untuk dibantu bagi menuntut nafkah khususnya daripada bekas suami yang culas menunaikannnya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menjelaskan bahawa terdapat pelbagai program yang sedang dilaksanakan oleh pihak beliau dalam memartabatkan golongan wanita di seluruh negara.
“Sebagai contoh, kami ada program seperti LaWa. LaWa ialah pusat aktiviti setempat yang menawarkan pelbagai aktiviti dan program pemerkasaan wanita seperti program kemahiran bagi menjana pendapatan wanita, program advokasi, program kepimpinan dan menjadi satu pusat informatif serta hebahan berhubung isu-isu berkaitan wanita,” katanya ketika mengulas berkaitan peranan wanita dalam Persidangan Antarabangsa dan Mesyuarat Tahunan Ke-14 Forum Zakat dan Wakaf Dunia, di Pusat Acara Hikmah Exchange, Kuching, hari ini.
Beliau turut menambah, terdapat juga program KasihnITA (KASIH Ibu Tunggal) yang merupakan sebuah program di bawah kementeriannya, yang menyasarkan ibu tunggal di Malaysia.
“Tujuannya adalah untuk memperkasa dan membantu ibu tunggal melalui tiga modul utama iaitu pengurusan kewangan, hak perundangan (termasuk menuntut nafkah), dan pembangunan potensi diri,” jelas beliau.







