
PENGAMBILAN seramai 20,000 Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) secara lantikan kontrak yang akan dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM) bermula Mac ini tidak menjejaskan peluang calon guru simpanan sedia ada untuk diserap ke dalam perkhidmatan pendidikan negara.
Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, KPM telah mengadakan perbincangan dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) bagi memastikan calon guru simpanan yang memenuhi kelayakan terus dipertimbangkan berdasarkan keperluan semasa.
“Individu berjaya ditemu duga tetapi dikategorikan sebagai calon guru simpanan tidak perlu bimbang kerana peluang untuk diserap ke dalam perkhidmatan pendidikan masih cerah.
“Calon simpanan ada peluang yang cerah dan ia bergantung situasi… mungkin mereka akan ditempatkan sama ada di sekolah rendah, menengah dan opsyen berlainan,” katanya lapor BH.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan penyerahan Peralatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) berupa papan pintar interaktif kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Negeri Sembilan, hari ini.
Kah Woh mengulas kebimbangan segelintir calon guru simpanan susulan pengumuman pengambilan 20,000 guru baharu yang dijadualkan bermula pada pertengahan tahun ini.
Sebelum ini, Ketua Pengarah Pendidikan, Dr Mohd Azam Ahmad dilaporkan berkata, permohonan pengambilan 20,000 PPP Gred DG9 secara lantikan kontrak atau Contract of Service (CoS) akan dibuka dari 2 hingga 20 Mac ini bagi memenuhi keperluan guru di seluruh negara.
Beliau berkata, pengambilan guru secara besar-besaran itu merupakan sebahagian daripada persiapan awal KPM menjelang pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026–2035, selain menyokong kemasukan kanak-kanak berusia 6 tahun ke tahun satu secara sukarela pada tahun hadapan.
Dalam perkembangan berkaitan, Kah Woh berkata, pengambilan guru baharu berkenaan akan memberi tumpuan kepada sekolah rendah kerana ia adalah pengambilan khas bagi menampung kemasukan murid tahun satu yang melibatkan situasi dua kohort pada tahun hadapan.
Terdahulu, beliau memaklumkan sebanyak 45 SJKT di Negeri Sembilan menerima masing-masing sebuah papan pintar interaktif dengan jumlah peruntukan sebanyak RM540,000.
Menurut beliau, inisiatif yang dilaksanakan menerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) itu diharap dapat mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih interaktif dan berkesan, selain memperkasa murid dengan kemahiran teknologi digital selaras keperluan pendidikan semasa.





