
PUTRAJAYA – Wujud keperluan buat Kementerian Pengangkutan (MOT) melaksanakan beberapa langkah intervensi secara holistik dalam memperkasa tahap keselamatan pengangkutan awam dan barangan, khususnya membabitkan kenderaan berat sektor komersial serta milik kerajaan.
Pasukan Petugas Khas (PPK) Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan Jalan berkata, antaranya ialah meningkatkan tahap pematuhan kepada Kod Amalan Industri Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) – Keselamatan (ICOP – Keselamatan) dalam kalangan pengendali kenderaan berat.
Katanya, agensi dan jabatan kerajaan juga perlu bertanggugjawab dalam memastikan
pemakaian tali pinggang keledar pada semua kenderaan milik kerajaan dipatuhi sepenuhnya.
“Agensi dan jabatan kerajaan mempertimbangkan opsyen penggunaan bas bagi pergerakan pentadbiran dan bukan operasi membabitkan penumpang, terutama bagi tujuan rasmi.
“MOT juga disaran meneroka penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kawalan dan operasi pengangkutan awam darat, selain meneliti semula cadangan penubuhan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Malaysia (MTSB) sebagai badan bebas bagi menyelaras siasatan dan syor keselamatan pengangkutan di negara ini,” katanya.
Pasukan khas itu berkata demikian menerusi laporan awal kemalangan membabitkan trak Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan Perak, pada Khamis.

Dalam pada itu, PPK itu turut mengesyorkan MOT membangunkan dan melaksanakan sistem pemantauan bersepadu bagi kenderaan komersial, merangkumi teknologi seperti sistem navigasi satelit sejagat (GNSS), kamera papan pemuka serta sistem pemantauan masa nyata yang relevan.
Pasukan itu berpandangan terdapat keperluan memasang kamera papan pemuka pada kenderaan milik kerajaan bagi pemantauan operasi dan keselamatan secara lebih menyeluruh.
“Mewajibkan penggunaan perakam data dan teknologi pemantauan secara mandatori ke atas semua kenderaan berat komersial, termasuk sistem GNSS, kamera papan pemuka dan sistem pemantauan masa nyata.
“Mempertimbangkan peluasan penggunaan perakam data dan teknologi pemantauan kepada kenderaan milik kerajaan, tertakluk kepada penilaian terhadap keperluan operasi khusus serta dasar keselamatan bagi setiap agensi,” katanya.
Mengenai aspek undang-undang dan penguatkuasaan, PPK itu berpandangan terdapat keperluan menambah baik peruntukan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), terutama berkaitan penguatkuasaan berat muatan.
“Antara lain, ia perlu membabitkan pelesenan dan pemantauan ke atas pengendali, audit keselamatan serta penyelenggaraan dan penalti serta tindakan undang-undang terhadap pelanggaran kenderaan barangan dan perkhidmatan awam.
“Selain itu, memperkukuh kerjasama silang fungsi antara agensi dan kementerian terbabit bagi memastikan pelaksanaan penguatkuasaan lebih berkesan,” katanya.
Sementara itu, PPK turut mengesyorkan MOT memperkenalkan audit pemeriksaan kendiri kepada pemain industri bagi memastikan pematuhan terhadap penyelenggaraan aset, rekod dokumentasi lengkap dan pematuhan audit berkala ditetapkan.

“Semua dokumen penyelenggaraan dan keselamatan perlu disimpan sekurang-kurangnya tujuh tahun, selain mewujudkan sistem pangkalan data berpusat boleh diakses kementerian, agensi berkaitan dan pemain industri, berdasarkan ketetapan Akta Perkongsian Data 2025 (Akta 864).
“Ini termasuk rekod prestasi dan kesihatan pemandu, rekod pematuhan dan prestasi pengendali industri serta sistem pemantauan laluan kenderaan berat secara masa nyata,” katanya.
Pada 13 Mei lalu, trak FRU membawa 18 anggota daripada Unit 5 Sungai Senam terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori membawa batu kira-kira jam 8.50 pagi.
Lapan anggota maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Teluk Intan, selain sembilan lagi cedera.
Kenderaan FRU itu dilaporkan dalam perjalanan pulang ke Ipoh selepas selesai bertugas sempena sambutan perayaan Chitrapournami sebelum dilanggar lori terbabit.




