
KUNJUNGAN Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di pejabatnya di Putrajaya Isnin lalu menunjukkan kedua-dua pemimpin itu bersungguh-sungguh mahu memajukan Kelantan pada hari ini.
Wajah kedua-dua pemimpin nampak begitu ceria lagi dan kedatangan Nassuruddin ke situ sudah cukup menunjukkan beliau sanggup merendah diri dan membuang egonya yang dahulunya terkenal sebagai ‘Singa Pas’.
Difahamkan perjumpaan itu memberi keutamaan mengenai perbincangan projek tebatan banjir, infrastruktur seperti penjajaran jalan, pengurusan air dan seterusnya PMX mahu projek itu dilaksanakan dengan segera bagi rakyat Kelantan.
Perjumpaan itu meningkatkan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat demi rakyat di negeri Serambi Makkah itu.
Perjumpaan kedua-dua mereka itu sudah beberapa kali dan kali ini Nassuruddin sanggup terbang ke Putrajaya semata-mata untuk bertemu dengan PMX.
Ini secara tidak langsung menunjukkan PMX bersifat terbuka kepada pemimpin dari kerajaan pembangkang.
Pintu pejabatnya sentiasa terbuka bagi pemimpin pembangkang untuk datang dan berbincang terutamanya bagi membantu sesebuah negeri itu ke arah kemajuan.
Kelantan sebagai sebuah negeri yang majoritinya adalah berbangsa Melayu sudah pasti PMX tidak sesekali akan melupakan mereka dalam mengejar kemakmuran.
Walaupun kedua-duanya tidak sehaluan dalam fahaman politik tetapi penulis yakin PMX tidak akan melupakan negeri Cik Siti Wan Kembang itu.
Sudah banyak peruntukan dibawa ke Kelantan semenjak PMX menjadi perdana menteri jika dibandingkan dengan perdana menteri sebelum ini.
Bagaimanapun sesekali Nassaruddin perlu juga menyenaraikan segala bantuan yang diperolehi dari Kerajaan Persekutuan demi keikhlasan serta terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan hari ini.
Penulis yakin PMX tidak akan berdiam diri selagi negeri-negeri pembangkang yang kebanyakannya dibelenggu kemiskinan.
Beliau sangat tersentuh sekiranya negeri-negeri itu rakyatnya masih di bawah garis kemiskinan dan akan berusaha supaya negeri itu setanding dengan negeri maju di Malaysia ini apatah lagi majoritinya penduduknya adalah Melayu.
Umumnya mengetahui PMX sangat sinonim dengan masalah kemiskinan. Juzuk-juzuk kemiskinan itulah yang telah menyentap hatinya untuk turun bagi melakukan demonstrasi
pada 1974 akibat tragedi di Baling.
Justeru, langkah pertamanya apabila memegang jawatan sebagai Perdana Menteri beliau mahu masalah kemiskinan dihapuskan.
Adalah tidak keterlaluan sekiranya penulis menobatkan beliau sebagai ‘Bapa Perjuang Kemiskinan’ yang menjadi perjuangannya selama ini kepada rakyat di Malaysia ini.
Menyentuh pertemuan dua pemimpin itu penulis turut memberi tabik kepada Nassuruddin walaupun sebelum ini kelantangannya menentang Kerajaan Persekutuan. Singa Pas katakan…
Kini sudah sampai masanya kepimpinan Kerajaan Kelantan buang perasaan dendam kesumat dan maki-hamun serta fitnah demi memajukan negara terutamanya kepada bangsa Melayu.
Penulis sangat teruja seandainya Nassuruddin sebagai nakhoda kapal menunjukkan teladan yang baik kepada anak buahnya sudah pasti kerjasama Kerajaan Kelantan dan Kerajaan Pusat pasti akan membuahkan hasil kepada rakyat Kelantan yang dahagakan pembangunan.
Bagaimanapun secara tiba-tiba penulis teringat pula kepada Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang bebas dari kes saman hari ini.
Sudikah beliau untuk bertemu empat mata seperti Nassuruddin melakukannya demi rakyat Jelapang Padi pula?