
TAWAU – Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus proaktif mempromosi Malaysia sebagai destinasi selamat dengan membawa sendiri para diplomat asing melihat potensi pelancongan kawasan Pantai Timur Sabah.
Menterinya, Datuk Seri Saifudin Nasution Ismail berkata, inisiatif yang memasuki tahun kedua penganjurannya itu menyasarkan diplomat dari negara-negara berpotensi tinggi menghantar pelancong ke Malaysia antaranya Amerika Syarikat, negara Eropah dan negara-negara Asia Timur.
“Kita datangkan diplomat daripada negara-negara luar ini agar mereka dapat memberi syor kepada negara mereka agar rakyatnya dapat datang ke sini kerana sejak dibuat pada tahun lepas, kita nampak trend kedatangan pelancong itu meningkat.
“Tambahan pula, kedudukan Malaysia dalam Global Peace Index (GPI) terus menunjukkan prestasi memberangsangkan apabila negara kekal dalam kelompok negara paling aman di rantau Asia Pasifik meskipun turun sedikit dari kedudukan ke-10 pada tahun lalu kepada tangga ke-13 tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Peluncuran Kampung Angkat MADANI di Sekolah Kebangsaan (SK) Inderasabah, di sini, pada Jumaat.
Saifuddin berkata, GPI menilai 165 negara berdasarkan puluhan indikator dan Malaysia masih mengekalkan momentumnya sebagai negara paling aman.
Oleh itu katanya, program bersama diplomat asing bermula dengan sesi taklimat, diikuti lawatan ke empat pulau sekitar Semporna dan akan diakhiri dengan majlis makan malam pada Sabtu.
Dalam pada itu, Saifuddin turut memuji Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) yang menunjukkan prestasi sangat cemerlang dengan kekuatan 187 pegawai serta anggota dan kerajaan menyedari pentingnya aspek kebajikan mereka.
“Pada 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim meluluskan peruntukan khas RM40 juta untuk pembinaan 60 unit kuarters serta memiliki bangunan ESSCOM sendiri,” katanya.
Pada majlis itu, Saifuddin turut menambah peruntukan sebanyak RM30,000 masing-masing RM20,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Inderasabah untuk pemasangan kipas gergasi di dewan terbuka sekolah berkenaan manakala RM10,000 untuk Tadika KEMAS Inderasabah.