
PENJAWAT awam diseru untuk memberikan komitmen tinggi dan bekerjasama terhadap pelaksanaan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan (ILTIZAM) telah berkuat kuasa pada 1 Disember lalu.
Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, tujuan ILTIZAM jelas untuk memastikan perkhidmatan kerajaan menjadi lebih berkualiti, cekap dan berkesan, terutama bagi rakyat dan komuniti perniagaan yang bergantung kepada kejelasan dan kemudahan urusan.
“Di bawah Akta ILTIZAM ini, KSN turut diperuntukkan kuasa untuk mengeluarkan apa-apa arahan, pekeliling atau garis panduan bagi melaksanakan semua peruntukan dalam Akta ini.
“Sudah pasti saya mengharapkan komitmen dan kerjasama seluruh perkhidmatan awam dalam menjayakan ILTIZAM ini.
“Sesungguhnya, pelaksanaan ILTIZAM adalah selari dengan Dasar Negara Bagi Amalan Baik Peraturan atau National Policy on Good Regulatory Practice (NPGRP), serta bergerak seiring dengan RKB,” ucapnya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Program Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku dan Konvensyen Reformasi Perkhidmatan Awam di Kompleks Perbadanan Putrajaya, Putrajaya, hari ini.

Pada masa sama Shamsul Azri menegaskan Pekeliling ILTIZAM yang dilancarkan hari ini merupakan sistem sokongan kepada Akta ILTIZAM.
“Saya difahamkan pada hari ini akan dilancarkan Pekeliling ILTIZAM bagi menyokong pelaksanaan Akta ILTIZAM. Begitu juga dengan Indeks Prestasi Perkhidmatan Awam (I-PPA) yang akan menjadi instrumen untuk mengukur, menilai dan memantau kecekapan serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kerajaan, sebagaimana dinyatakan dalam Seksyen 7(1) dalam Akta ILTIZAM.
“Semoga dengan adanya pekeliling serta instrumen pengukuran ini akan mengukuhkan lagi tadbir urus berasaskan prestasi, iaitu Penambahbaikan Penyampaian Perkhidmatan Kerajaan Berlandaskan Prinsip ILTIZAM, di bawah Tonggak Ketiga RMK13,” katanya.



