
KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Ts Mustapha Sakmud menyambut baik cadangan untuk menawarkan Program Pendidikan Bahasa Kadazandusun (BKD) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Katanya saranan oleh Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Madius Tangau itu adalah sangat baik.
“Bagi pihak KPT, kita sentiasa komited untuk terus memperkasa bahasa etnik terutama di Sabah.
“Program Pendidikan Bahasa Kadazandusun ditawarkan di UMS akan memudahkan pelajar-pelajar dari Sabah menyambung pengajian,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, terdahulu, Madius menyatakan saranan berkenaan ketika menyampaikan ucapan perbahasan Peringkat Jawatankuasa di bawah KPT pada Persidangan Parlimen Dewan Rakyat, di sini.
Katanya, pada ketika ini UMS ada menawarkan program Bahasa Kadazandusun kepada pelajar yang berminat.
“Kursi Kadazandusun juga telah wujud sejak sekian lama di universiti itu.
“Walau bagaimanapun, Program Pendidikan Bahasa Kadazandusun bagi guru-guru bahasa itu masih belum ada.
“Saya mencadangkan agar program itu diperluas ke UMS seperti yang ditawarkan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI),” katanya.







