
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menafikan dakwaan kononnya Malaysia telah bersetuju memberikan Graduate Pass kepada 10,000 pelajar Bangladesh bagi membolehkan mereka bekerja di negara ini.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir berkata, tuduhan yang dibuat berdasarkan laporan akhbar di Bangladesh itu adalah tidak benar, tidak berasas dan sangat tidak bertanggungjawab.
Beliau menegaskan, isu berkenaan timbul selepas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah merangkap Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri, Dr. Haim Hilman Abdullah mendakwa Malaysia sudah bersetuju menerima pelajar Bangladesh berkenaan.
“Saya menasihatkan beliau agar lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan terutama berkaitan pendidikan tinggi.
“Tuduhan bahawa saya bersetuju memberi ‘Graduate Pass’ kepada 10,000 pelajar Bangladesh adalah tidak benar dan tidak tepat sama sekali,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Dr. Zambry menjelaskan, semasa lawatan tokoh Bangladesh, Prof. Dr. Muhammad Yunus, baru-baru ini, tiada sebarang Memorandum Persefahaman (MoU) atau perjanjian ditandatangani yang mengikat Malaysia untuk menerima pelajar Bangladesh bekerja di negara ini.
Beliau berkata, dakwaan wujudnya perjanjian seumpama itu adalah tidak berasas, malah kenyataan yang mendakwa rakyat resah kerana Malaysia kononnya telah bersetuju adalah sangat tidak bertanggungjawab.
Menurut Dr. Zambry, sebagai seorang yang berlatarkan akademik, Dr. Haim seharusnya membuat kenyataan berdasarkan fakta tepat dan sahih, bukannya spekulasi atau menyebarkan maklumat sembarangan.
“Prinsip akademik menuntut kepada maklumat yang berintegriti, tepat dan benar.
” Membuat kenyataan tanpa asas hanya mengelirukan masyarakat serta menjejaskan kredibiliti,” katanya.
Menteri Pendidikan Tinggi itu turut mengingatkan agar budaya mencipta persepsi tidak tepat dan menghasilkan kandungan untuk tujuan tular di media sosial dihentikan segera.
“Saya menegaskan agar YB Dr. Haim Hilman tidak sewenang-wenangnya mencipta persepsi dengan maklumat tidak tepat serta mengelirukan rakyat.
“Budaya menghasilkan ‘content’ untuk diviralkan dengan fakta salah perlu segera dihentikan,” katanya.