Oleh: Benzema
KOTA KINABALU – Kementerian Pendidikan Tinggi mengalu-alukan dan bersedia untuk menjayakan pelaksanaan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0.
Menurut Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts Mustapha Sakmud, KPT antara kementerian yang terlibat dalam pelaksanaan PLKN 3.0.
“KPT amat mengalu-alukan program ini sebab kita mahu generasi muda dapat terarah pemikirannya.
”Kita tidak mahu generasi kita ini terpengaruh hanya dengan info-info yang terdapat di media sosial terutama TikTok.
”Kadang-kadang kita tahu apa yang maklumat berada di TikTok bukan semuanya benar.
”Jadi kita mahu generasi muda ini dapat diberikan pendedahan yang sebenarnya mengikut saluran rasmi supaya mereka boleh melihat tentang bagaimana Kerajaan Madani ini memberi manfaat kepada mereka terutama dalam sudut pendidikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Semarak Maulidur Rasul 1446H/2024 Peringkat Parlimen Sepanggar di Masjid Al-Munir Kg Darau, Manggatal di sini, pada Ahad.
Mustapha berkata, pihaknya di peringkat KPT amat mengalu-alukan cadangan ini dan memastikan mahasiswa yang terpilih nanti akan dilibatkan bersama.
Tambahnya, KPT bersedia menyumbangkan tenaga pakar, pensyarah-pensyarah, pakar motivasi, kauselor bagi turut serta menjayakan PLKN 3.0 ini.








