TAMPARULI – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Sabah menasihatkan semua pegawai yang terlibat dalam proses permohonan Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) supaya lebih berwaspada terhadap pihak-pihak luar yang mungkin cuba mempengaruhi mereka.
Menterinya, Datuk Jahid Jahim berkata, peringatan itu penting bagi memastikan proses pemberian bantuan perumahan tersebut berjalan secara telus dan tidak disalahgunakan.
“Sebenarnya, saya tidak tahu secara terperinci, namun saya telah menasihati mereka yang berkaitan agar tidak terlalu mempercayai mana-mana pihak yang datang bercakap itu dan ini.
“Banyak pihak menunjukkan minat mendalam terhadap program ini, dan pada masa sama, ada juga yang cuba mengambil kesempatan,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Rumah Terbuka Aidilfitri Parti Bersatu Sabah (PBS) di Dewan Tun Hamdan, Tamparuli, di sini, pada Sabtu.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas penahanan seorang pegawai selepas disyaki menerima suapan berkaitan projek Rumah Mesra SMJ di Sandakan, walaupun pegawai terbabit tidak terlibat secara langsung dan perkara itu berlaku di luar pengetahuan kementerian.
“Kita terkejut apabila mendapati ada individu yang cuba mengambil kesempatan.
“Biasanya pada peringkat awal, apabila ada minat terhadap projek sebegini, memang akan ada banyak pihak cuba masuk mengambil peluang,” ujarnya.
Dalam majlis sama, Jahid turut meluahkan rasa gembira atas sambutan Aidilfitri PBS yang meriah, dengan kehadiran Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor bersama rakyat dari Tamparuli dan daerah-daerah lain.






