
KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bahawa bekalan telur ayam di pasaran negara adalah mencukupi dan stabil, bahkan pengeluaran tempatan kini melebihi permintaan domestik.
Jaminan tersebut diberikan berdasarkan data semasa yang diperoleh daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), sekali gus membuktikan keberkesanan langkah penstrukturan semula subsidi telur yang berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025.
Menurut kenyataan KPKM, lebihan pengeluaran telur ayam memberi ruang kepada pihak industri untuk menyemak dan menyelaras harga jualan dari semasa ke semasa mengikut mekanisme pasaran terbuka tanpa menjejaskan bekalan kepada pengguna.
“KPKM ingin menegaskan bahawa bekalan telur ayam di pasaran adalah stabil dan mencukupi. Malah, data terkini menunjukkan pengeluaran tempatan telah melebihi permintaan domestik. Ini membolehkan pasaran beroperasi dengan lebih seimbang dan memberi manfaat kepada pengguna,” menurut kenyataan itu pada Khamis.
Tinjauan kementerian itu juga mendapati bekalan telur ayam gred A, B dan C masih stabil serta boleh diperoleh dengan mudah di pasar raya.
Selain itu, telur ayam gred khas turut ditawarkan pada harga mampu milik dalam kuantiti yang munasabah.
Bagi memastikan kelangsungan bekalan dan membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat, KPKM akan terus melaksanakan pemantauan terhadap data pengeluaran serta meneruskan inisiatif Jualan Agro MADANI.
Dalam masa yang sama, KPKM berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) giat menjalankan pemantauan harga pasaran dan akan mengambil tindakan tegas di bawah undang-undang sedia ada sekiranya terdapat sebarang bentuk pencatutan, manipulasi atau kenaikan harga yang tidak munasabah.
“KPKM komited untuk memastikan bekalan telur ayam sentiasa mencukupi dan terjamin bagi memenuhi keperluan pengguna di seluruh negara,” katanya.





