KUANTAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sentiasa komited melaksanakan tugas memantau harga barangan, selain memainkan peranan memperkasakan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) di negara ini.
Timbalan Menteri KPDN, Dr Fuziah Salleh berkata, usaha itu adalah kesinambungan dasar membumi, selari dengan perkembangan ekonomi semasa yang kian mencabar.
“Dalam suasana rakyat bergelut dengan kos sara hidup, kami di KPDN bukan hanya bertindak sebagai pemantau harga, tetapi juga sebagai pemacu ekonomi rakyat.
“Pembukaan jenama tempatan seperti Daily Coffee di Kuantan ini membuktikan bahawa PMKS boleh berkembang, mencipta pekerjaan dan menjadi peneraju dalam sektor makanan serta minuman,” katanya selepas merasmikan restoran Daily Coffee, hari ini.
Jenama Daily Coffee diasaskan oleh NBRAND (M) Sdn Bhd lima lalu, kini berkembang dengan pembukaan 19 cawangan di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak.
Syarikat itu juga merancang pembukaan cawangan baharu di Kulim, Kedah; Lahad Datu, Sabah; Satok, Sarawak dan Senawang, Negeri Sembilan menjelang pertengahan tahun ini.
Fuziah memaklumkan, KPDN melalui Bahagian Pembangunan Perniagaan akan terus menyokong PMKS dengan pelbagai inisiatif termasuk program promosi jenama tempatan, pendigitalan sistem perniagaan, pembiayaan mikro dan padanan pasaran, latihan serta khidmat pembangunan kapasiti.







