
IPOH – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas sebanyak 529 unit telefon bimbit tiruan berjenama terkenal dengan nilai keseluruhan RM150,788 dalam satu serbuan di sebuah premis perniagaan di sini, pada Khamis.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan yang dijalankan pada jam 11.50 pagi itu adalah hasil aduan serta maklumat yang diterima daripada wakil pemilik cap dagangan yang mengesyaki berlakunya penjualan telefon bimbit tiruan di premis terbabit.
Menurut beliau, operasi berkenaan dilaksanakan bagi membanteras aktiviti penjualan dan pengedaran barangan tiruan, khususnya melibatkan telefon bimbit berjenama terkenal.
“Wakil syarikat cap dagangan telah membuat pengesahan awal ke atas barangan terbabit dan hasil pemeriksaan mendapati premis berkenaan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019.
“Pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 529 unit telefon bimbit yang disyaki menggunakan cap dagangan berdaftar yang dipakaikan secara salah pada barangan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah beliau, kesemua barangan rampasan bersama dokumen berkaitan telah disita bagi tujuan siasatan lanjut, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM150,788.
Menurut Kamalludin, kes disiasat mengikut Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 kerana memiliki, menjaga atau mengawal bagi maksud perdagangan atau pengilangan barangan yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan secara salah, sebagaimana diperuntukkan di bawah Seksyen 100 akta yang sama.





