
KUCHING – Koperasi Koperkasa Sarawak Berhad (Koperkasa) menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM29,998 kepada Tabung Baitulmal Sarawak bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial dan komitmen terhadap kewajipan agama.
Majlis penyerahan simbolik cek diadakan di Ibu Pejabat Koperkasa, Jalan Simpang Tiga, Kuching. Ia disempurnakan oleh Pengerusi Koperkasa, Fathi Hambali kepada Timbalan Pengurus Besar 2 Tabung Baitulmal Sarawak, Abang Faisal Abang Marzuki.
Menurut Fathi, pembayaran zakat ini bukan sahaja menunaikan tuntutan syariah, malah melambangkan keprihatinan koperasi terhadap masyarakat.
“Kejayaan sesebuah koperasi bukan diukur pada keuntungan semata-mata, tetapi juga melalui sumbangan sosialnya kepada masyarakat.
“Diharap zakat ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak Tabung Baitulmal Sarawak dalam membantu golongan yang memerlukan di Sarawak,” katanya.
Beliau turut menjelaskan, Koperkasa mula melaksanakan pembayaran zakat perniagaan sejak tahun 2019 dan komitmen itu akan diteruskan seiring dengan prinsip ekonomi Islam serta tadbir urus koperasi yang beretika.
Turut hadir Setiausaha Koperkasa, Ahmad Malie; Pengurus Besar, Wahid Che@Zaidi Chee, serta anggota Lembaga Koperasi.






