
KUNAK – Kontraktor tempatan yang memiliki lesen Kelas F diingatkan supaya mematuhi sepenuhnya garis panduan yang ditetapkan dalam pelaksanaan projek Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ).
Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Seri Dr Anil Sandhu berkata, langkah ini penting bagi memastikan projek berjalan lancar dan menepati piawaian serta berkualiti.
“Saya berharap agar setiap rumah yang dibina dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
“Ingatlah, rumah ini bukan sekadar projek, tetapi tempat berteduh untuk sebuah keluarga tempat mereka membina kehidupan, menjaga keselamatan dan mencipta harapan baru.
“Laksanakanlah tanggungjawab ini dengan penuh keprihatinan dan rasa tanggungjawab kepada rakyat,” katanya selepas mengadakan taklimat bersama kontraktor-kontraktor tempatan lesen Kelas F, di Kunak.
Anil yang juga ADUN Kunak berkata, pemilihan penerima Rumah SMJ akan dilakukan sepenuhnya Pejabat Daerah Kunak dan sampai kepada mereka yang layak.
“Proses pemilihan penerima hendaklah ditapis dengan sebaiknya agar bantuan ini benar-benar sampai kepada golongan yang layak dan memerlukan.
“Sekiranya terdapat sebarang kepincangan atau mana-mana individu yang meminta bayaran, cukai atau wang dalam proses permohonan, maklumkan saya.
“Saya ingin menegaskan bahawa tiada sebarang urusan bayaran tunai terlibat dalam pelaksanaan program ini,” tegasnya.
Justeru, beliau berharap agar mereka yang terlibat dalam proses pelaksanaan Rumah SMJ ini dapat bekerja dengan telus, jujur dan amanah.



